Salam,
Fuh! 2012 bakal meninggalkan kita semua. Terasa begitu cepat sekali masa berlalu. Saya harapkan tahun 2012 telah memberikan anda semua peluang dan ruang untuk memanfaatkan potensi diri secara maksimum. Diharapkan juga 2013 bakal dimanfaatkan dengan lebih baik lagi. Insya Allah. Apa yang saya dah capai di dalam 2012?
Alhamdulillah, tahun 2012 banyak memberi ruang dan kesempatan untuk saya berkerja dan berkarya dengan agak produktif.
PENERBITAN EBOOK SUNTINGAN FOTO
Dua buah ebook suntingan foto yang diterbitkan di dalam tahun 2011 masih lagi dijual dan terus terjual. Ebook yang bertajuk Kompilasi Teknik Suntingan Foto Terbaik Vol 1 dan Vol 2 mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Kepada yang masih belum memilikinya, bolehlah buka laman web berikut: http://imranabduljabar.com untuk mendapatkan keterangan lanjut serta membeli secara online.
PENERBITAN BUKU DENGAN PTS
Berikutan sambutan ebook yang menggalakkan, pihak PTS telah menunjukkan minat untuk menerbitkan ebook saya yang pertama di dalam bentuk buku bercetak. Buku yang diberi tajuk Teknik Suntingan Foto Terbaik tersebut telah dilancarkan di dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012. Alhamdulillah, di dalam masa dua bulan sahaja buku tersebut telah pun diulang cetak. Buku tersebut boleh didapati di kedai-kedai buku serata Malaysia. Atau pun, boleh dapatkannya secara online di laman web BookCafe PTS:
Proses penerbitan buku teknik suntingan siri yang kedua mungkin akan dibuat di dalam tahun 2013. Saya juga sedang berusaha untuk menyiapkan buku-buku lain untuk pembelajaran Photoshop, Illustrator dan InDesign. Doakan semoga saya dapatkan siapkan semuanya di dalam tahun 2013 nanti.
JEMPUTAN KURSUS DAN CERAMAH
Syukur. Selepas pelancaran buku saya dengan PTS, jemputan kursus dan ceramah semakin baik dan padat. Jenuh juga menyusun jadual untuk memenuhi permintaan mengajar. Terima kasih kepada semua pihak yang sudi menjemput saya mengendalikan kursus-kursus anda semua. Terima kasih juga kepada pihak penyedia latihan yang sentiasa menjemput saya seperti Positive Event Solutions, Jom Training dan Institut Tanah dan Ukur Negara.
ANUGERAH PENGAJAR TERBAIK 2012
Anugerah? Wah! Ini yang paling saya tidak sangka sebenarnya apabila mendapat panggilan daripada pihak Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN). Mereka berbesar hati untuk menyampaikan anugerah tenaga pengajar terbaik kategori teknologi maklumat 2012. Satu penghargaan kepada usaha saya mengendalikan kursus dengan sehabis baik yang mampu saya lakukan. Kepada yang pernah menyertai kursus yang saya kendalikan, saya ucapkan berbanyak terima kasih di atas kerjasama yang diberikan sehingga saya mampu memberikan satu perkongsian yang memberi manfaat kepada anda semua.
DOODLE ART
2012 membuka lembaran baru kepada saya di dalam aktiviti doodle. Doodle adalah hasil lakaran-lakaran yang bersahaja dan tidak dirancang. Apabila lakaran bersahaja ini dibuat dengan teliti dan kemas, ianya boleh menjadi satu hasil karya seni yang menarik. Seni doodle telah menjadi satu aktiviti saya yang sangat saya minati dan secara perlahan-lahan menjadi berkembang dan menarik perhatian banyak pihak. Doodle saya ditempah untuk menjadi kulit buku, kad perkahwinan, hiasan dinding, phone casing dan rekabentuk baju.
Saya sangat berharap untuk mengembangkan hasil karya saya ini di dalam 2013. Insya Allah.
Hasil doodle saya di dalam Flickr: http://www.flickr.com/photos/91303350@N02/
Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi inspirasi.
SELAMAT TAHUN BARU 2013
Begitulah sedikit sebanyak pencapaian saya sepanjang 2012 yang saya sempat kongsikan. Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru untuk semua. Semoga tahun yang baru ini lebih baik daripada tahun yang sebelumnya.
Terima kasih semua.
Imran Abdul Jabar

Pengasas Sifoo.com. Mempunyai pengalaman dalam industri kreatif dan multimedia sejak 1999. Kini lebih fokus menjadi pengajar kursus-kursus grafik dan multimedia. Boleh hubungi beliau sekiranya berminat untuk menjemput menjadi pengajar kursus anda.



