Firdaus Mahadi

Firdaus Mahadi merupakan seorang pelukis kaligrafi, pereka grafik dan fotografer. Beliau banyak menghasilkan lukisan khat yang menarik dan banyak juga menyertai pameran-pameran.

Azam beliau bukanlah sekadar untuk menjadi seseorang yang berjaya sahaja tetapi menjadi seseorang yang mempunyai nilai.

Kita ikuti temuramah Sifoo.com dengan Firdaus Mahadi.

 

 Fakta Peribadi:

Nama penuh: Mohammad Firdaus bin Mahadi
Nama samaran: Firdaus Mahadi
Tarikh Lahir: 1 Jun 1984
Tempat asal: Melaka
Tempat sekarang: Selangor
Pendidikan: Sarjana Muda Pengajian Qur’an dan Sunnah
Kepakaran / Bidang: Seni Khat & Fotografi
Website: http://www.callidesign.com.my
Facebook: http://facebook.com/firdausmahadifp
Flickr: http://flickr.com/firdausmahadi
Deviantart: http://firdausmahadi.deviantart.com

SDC: Apa khabar? Terima kasih kerana sudi ditemuramah untuk ruangan Personaliti di Sifoo.com.

FM: Alhamdulillah bilkhair, terima kasih juga kerana sudi menemuramah saya yang masih kerdil dalam bidang ini, dan
terma Personaliti itu sendiri terlalu tinggi maqamnya, terima kasih sekali lagi.

SDC: Untuk memberi penjelasan kepada umum, apakah sebenarnya bidang kepakaran anda? Bagaimana corak atau rutin kerja anda? Adakah anda melakukannya secara sepenuh masa?

FM: Alhamdulillah buat masa ini saya masih lagi dalam proses pemantapan bidang utama saya iaitu seni khat, dan juga proses pembelajaran dan pemantapan dalam bidang fotografi serta grafik. Mengenai rutin kerja pada masa ini saya jalankannya secara sepenuh masa mengikut kelapangan dan tempahan, saya juga perlu membahagikan masa kerana dalam masa yang sama saya mengajar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan juga sedang dalam pengajian
sepenuh masa di peringkat Sarjana di sebuah ipta, secara jujurnya jadual saya agak padat dengan kerjaya dan pelajaran sampaikan saya tiada masa khusus untuk bersosial dan ‘memanjakan diri’ :)

SDC: Boleh ceritakan serba ringkas tentang latarbelakang anda dan sejarah penglibatan anda di dalam bidang (kepakaran anda)?

FM: Agak panjang juga untuk dihuraikan, insyaAllah saya cuba padatkannya sebaik mungkin, pertamanya saya mula menceburi bidang seni khat ini waktu di sekolah menengah. Saya bersekolah di Sekolah Menengah Agama Kerajaan Johor, Kluang. Ketika itu terdapat subjek seni khat yang diwajibkan pada semua pelajar dari tingkatan 1-3 bagi memenuhi penilaian untuk peperiksaan Sijil Rendah Agama (SRA) yang perlu diduduki ketika di tingkatan 3, seiring dengan PMR. Secara lahiriah, saya memang meminati seni sejak dari sekolah rendah lagi, bermula dengan melukis. Sewaktu di sekolah menengah, saya setelah diperkenalkan dengan seni khat, ianya terus menjadi kesukaan saya sampailah sekarang. Proses pembelajaran agak sukar pada masa itu kerana guru yang mengajar tiada kepakaran dalam bidang ini.

Alhamdulillah, saya mula belajar bersungguh-sungguh apabila guru memberi buku ‘Qawaid Khattul Arabi’ oleh khattat (penulis khat) terkenal Hasyim Baghdadi, bermula dengan menekap dan melukis huruf-huruf serta karya-karya penulis khat terkenal, sedikit demi sedikit saya dapat mula menulis dengan mengingati bentuk huruf setiap satu.

Sejak dari itu, dengan minat yang terlalu dalam, saya berlatih menulis setiap hari sehingga satu tahap ketika di tingkatan 3 saya dapati seperti tiada peningkatan dalam kualiti tulisan, dan saya agak sedikit kecewa juga ‘down’, hampir sebulan saya tidak menulis. Alhamdulillah, atas dorongan dan nasihat keluarga, guru serta kawan-kawan saya bermula semula dengan azam yang baru, dan ianya berterusan sampailah sekarang.

Begitulah mulanyapenglibatan saya dalam bidang seni khat ini, dan kemudian ianya merebak ke bidang seni lain terutamanya seni grafik dan seterusnya fotografi, rasanya ianya tak perlu diceritakan dengan lebih lanjut kerana fokus saya adalah pada seni khat :)

SDC: Apakah perkembangan terkini anda sama ada dalam kerjaya mahupun di dalam bidang kepakaran anda?

FM: Perkembangan terkini saya, kini, setiap masa dan selamanya adalah proses pemantapan karya seni juga pemantapan kaedah penulisan asli dan tradisional, dan mengkaji dengan lebih dalam lagi mengenai seni khat. Selain itu dalam masa saya berkarya untuk tempahan dan simpanan, saya juga dalam proses menyiapkan karya yang akan dipamerkan di sebuah galeri di Bangsar penghujung November 2011 ini, insyaAllah. Selain itu juga saya aktif menerima jemputan untuk pameran dan demonstrasi seni khat di pelbagai agensi, ipta dan seumpamanya, terbaru bulan November 2011 ini jika
tiada apa aral saya akan memenuhi jemputan pihak Balai Seni Visual Negara (BSVN) sempena Pesta Buku Seni dan KL Monorail sempena Culture Station Of Life untuk demonstrasi penulisan dan pameran seni khat.

SDC: Siapa atau apakah yang mendorong anda untuk menceburi bidang (kepakaran anda) ini? Bagaimana ianya  mempengaruhi kejayaan anda sekarang?

FM: Sejujurnya, ianya bermula dengan keputusan saya sendiri untuk lakukannya secara sepenuh masa setelah tamat pengajian Sarjana Muda pada tahun 2006 lalu, kerana pada mulanya ibubapa agak risau akan apa yang akan saya perolehi jika meneruskannya, Alhamdulillah atas usaha dan rezeki dariNya, dengan pelbagai tawaran dan pendedahan, saya perolehi kepercayaan ibubapa atas apa yang saya lakukan kerana tanpa restu dari mereka mungkin saya tidak akan dapat meneruskannya dengan baik.

Di samping itu, keluarga, sahabat-sahabat, guru serta pensyarah merupakan pendorong utama saya untuk terus lebih maju dalam apa yang diusahakan. Dan perkara paling utama yang mempengaruhi saya dalam bidang seni khat ini adalah kerana seni khat itu sendiri, seni Islam yang punya jiwa dan mengajar diri untuk bersabar serta sentiasa mengingatiNya, berbekalkan dengan niat itu saya usahakan sedaya mampu untuk membudayakan dan memartabatkan seni khat ini agar ianya lebih dikenali dan dihormati juga tidak dilupakan oleh generasi mendatang.

SDC: Siapakah idola anda? Boleh senaraikan beberapa nama di sini.

Tokoh Antarabangsa:

  • Allahyarham Hashim Baghdadi
  • Allahyarham Hamid Al-Amidi
  • Allahyarham Syeikh Abdul Aziz Rifa’i
  • Hasan Celebi
  • Wissam Shawkat
  • Mouneb Obradovic
  • Adnan Syeikh Osman
  • Syeikh Othman Taha
  • Dawood Bektash
  • Sayed Ibrahim
  • Hassan Masoudy

Tokoh Malaysia:

  • Ustaz Yusof Abu Bakar
  • Abdul Baki Abu Bakar
  • Nik Abdul Rahman Zaki Nik Abdul Kadir
  • Zainurrahman Afandi

SDC: Boleh kongsikan pencapaian terbaik anda setakat hari ini?

FM: Antara
pencapaian terbaik saya setakat ini :

  1. Pameran dan Demonstrasi Seni Khat di Seoul, Korea Selatan sempena “Celebrating Of The Golden Anniversary Of Islam In Korea – The Grand
  2. Exhibition For Culture and Folk Art Of The Middle East and Islam” (2006)
  3. Pameran dan Demonstrasi Seni Khat di Singapura sempena “One World Many Cultures Exhibition : A Journey of Discover” (2007)
  4. Pameran dan Demonstrasi Seni Khat di Perpustakaan Negara sempena Pesta Buku (2009)
  5. Pameran Seni Khat Munajat di Tinta Khat anjuran Universiti Malaya (2010)
  6. Ditemuramah oleh MHI TV3 dan Wanita Hari Ini TV3
  7. Kolumnis Majalah Al-Islam – Ruangan Seni Khat (2009)
  8. Ditemuramah oleh Majalah Dewan Ekonomi – Kolum Usahawan Seni (Februari 2009)
  9. Ditemuramah oleh Metro Ahad (9 Januari 2011)
  10. Memenangi beberapa pertandingan seni khat di peringkat negeri dan kebangsaan.
  11. Diberi kepercayaan mereka konsep & rekabentuk Dinar 1 Malaysia serta Dirham Asia yang akan berada di pasaran tidak lama lagi.

SDC: Apakah yang membezakan hasil kerja anda dengan hasil kerja orang lain? Bagaimana anda mendapatkan inspirasi?

FM: Pada saya ada bezanya sekiranya dalam bidang yang sama, kerana setiap penulis khat ada ‘stroke’ mereka sendiri, sampai satu tahap kita dapat mengenalpasti tulisan seseorang khattat (penulis khat), maka jika dilihat dari bidang saya sendiri, keaslian tulisan adalah sangat penting. Untuk pengetahuan umum, dalam dunia seni khat mereka yang menghasilkan karya ini boleh dikategorikan kepada 2 iaitu penulis khat, dan pengkarya seni. Penulis khat adalah menulis penuh ketelitian dan hasil karya adalah asli dan mengikut teknik penulisan secara tradisional, manakala pengkarya seni itu adalah yang menulis tidak menggunakan kaedah tradisional atau ‘freestyle’. Secara zahirnya, yang membezakan karya
antara satu sama lain adalah dinilai oleh sejauh mana penguasaan kaedah seni khat asli seseorang apabila menghasilkan sesuatu karya.

Sebagai seorang penulis khat, saya diinspirasi oleh beberapa ayat al-Qur’an dan hadis, antaranya:

“Nun. Demi pena dan apa yang mereka tulis”
(Surah Al-Qalam : 1)

“Seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan lautan (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh lautan (lagi) setelah (kering)nya, niscaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat-kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.”
(Surah Luqman : 27)

“Barangsiapa yang baik dalam penulisan kaligrafinya, sesungguhnya ia adalah pembuka pada pintu rezeki.”
(Ali bin Abi Talib)

Selain itu, keterujaan melihat keindahan karya khattat-khattat tersohor menambahkan lagi keinginan untuk menghasilkan karya menjadi lebih baik serta lebih berkualiti.

SDC: Untuk mencapai tahap seperti anda, tentu ada prinsip, etika serta tips tertentu yang anda sering amalkan. Jika tidak keberatan, boleh kongsikan?

FM: Di mana ada kemahuan di situ ada jalan, usaha selagi terdaya, jangan mudah jemu kerana jika bukan kita yang lakukannya siapa lagi yang akan melakukannya, dan selagi apa yang kita lakukan adalah betul dan tidak melanggar syariat percayalah rezeki Allah itu sentiasa ada bagi sesiapa yang meyakininya.

SDC: Adakah anda mendapat pendidikan formal di dalam bidang ini? Apakah cara anda untuk mempertingkatkan  pengetahuan serta kemahiran agar sentiasa seiring dengan kehendak semasa?

FM: Saya tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang ini, cara saya adalah sering melihat karya-karya agung khattat terkenal sebagai rujukan dan kayu pengukur pada karya sendiri, bertanya, berkongsi ilmu, dan membuat tashih (pembetulan) kaedah tulisan pada yang lebih pakar, serta membaca bahan-bahan rujukan yang kebanyakannya dalam bahasa arab.

SDC: Apakah pandangan anda terhadap potensi bidang ini di Malaysia mahu pun di luar negara?

FM: Pada pandangan saya, saya yakin seni khat mempunyai masa depan cerah berdasarkan pengalaman di luar negara
apabila ia mendapat sambutan hebat meskipun bukan daripada individu beragama Islam. Alhamdulillah, pada masa sekarang, segelintir generasi muda sudah mula sedar dan minat akan kepentingan seni warisan Islam ini dengan menyertai kelas-kelas intensif yang diadakan secara persendirian oleh beberapa khattat yang dikenali serta melanjutkan
pelajaran dalam bidang Seni Mushaf di Kolej Yayasan Restu, Shah Alam, Selangor.

Di luar negara, potensi seni khat juga adalah baik, kerana khattat-khattat terkenal yang kebanyakannya dari Timur Tengah telah ‘buka mata’ akan kemampuan dan tahap kualiti khattat dari Asia yang mana sedikit sebanyak dapat menyaingi mereka terutamanya dalam pertandingan peringkat antarabangsa yang biasa diadakan di Arab Saudi, Turki, Qatar, dan UAE.

SDC: Apakah perancangan masa hadapan anda di dalam bidang ini?

FM: Saya berhasrat mengembalikan semula zaman kegemilangan seni khat, terutama kepada golongan muda, khususnya yang meminati seni ini dengan berkongsi pengetahuan yang ada melalui penulisan, pameran, kelas intensif, dan seumpamanya, agar ianya tidak dilupakan dan dihapuskan. Saya turut memasang impian mewujudkan galeri pameran sendiri khusus untuk memberi pendedahan dan mempamerkan hasil karya dengan pelbagai jenis tulisan khat, dan membuka ‘mata’ golongan pengkarya seni terutamanya seni kontemporari. Semoga ianya dipermudahkan olehNya.

SDC: Sekiranya anda ingin memberi tips dan nasihat kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menceburi bidang ini, apakah yang anda ingin kongsikan agar mereka dapat menyelami bidang ini dengan lebih bermakna lagi?

FM: Saya amat mengalu-alukan pada mereka yang ingin pelajari seni khat ini, insyaAllah saya usaha untuk beri laluannya
sebagai panduan untuk bermula. Pertamanya perlu minat yang mendalam, kerana seni khat ini memerlukan sesorang itu memahami dan menjiwainya dengan baik. Selain itu, tidak mudah jemu dan putus asa kerana ianya memerlukan fokus dan latihan berterusan yang bersungguh. Pelajarilah ilmu itu kerana manfaat yang ada darinya, seni khat bukan sekadar seni yang melatih seseorang itu untuk menulis dengan lebih baik, bahkan ilmu yang ada didalamnya hendaklah seiring, lebih bermakna sekiranya seseorang itu dapat pelajarinya dan memahaminya lalu menyampaikannya pada yang lain. Jadilah orang yang bermanfaat sepertimana hadis Nabi SAW yang bermaksud “Orang yang baik itu adalah yang memberi manfaat pada orang lain”.

SDC: Sedikit pesanan khas daripada anda untuk pengunjung Sifoo.com.

FM: Sentiasa jujur, ikhlas dan perbetulkan niat dalam apa jua yang dilakukan, seni itu baik dan bermanfaat andai kita faham dan benar-benar menghayatinya, setiap orang ada keistimewaan atau ‘sense of art’ masing-masing, cuma terletak pada diri sendiri bagaimana untuk mengenalpasti dan menzahirkannya serta memajukannya. Akhir sekali jauhi sifat ego dan takabbur dengan kejayaan dan kemahiran yang diperolehi, sepertimana dalam hadis Nabi SAW:

Imam Muslim meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Tidak masuk syurga seorang yang ada sifat takabbur dalam hatinya walau sebesar biji sawi”.

Lalu bertanya seorang lelaki :

“Jika seorang lelaki suka memakai pakaian yang cantik dan memakai kasut yang lawa, adakah dia juga dikatakan takabbur?”.

Baginda menjawab :

“Tidak! Allah itu cantik dan Ia sukakan kecantikan. Yang dikatakan takabbur itu ialah enggan menerima kebenaran (iaitu sombong terhadap kebenaran) dan memandang rendah terhadap manusia”.

SDC: Terima kasih kepada anda kerana sudi menjawab soalan-soalan temuramah ini. Sifoo.com mengucapkan selamat maju jaya dan teruskan berkarya.

FM: Sama-sama dan terima kasih kembali pada Sifoo.com atas penghargaan serta peluang berharga ini, semoga apa yang dikongsi dapat memberi inspirasi pada pembaca dan mereka yang meminatinya. Apa yang baik itu semuanya datang dari Allah dan yang kurang baik itu datang dari saya sendiri. Semoga Sifoo.com terus memberi inspirasi pada penggiat seni. Jazakallah, Assalamualaikum :)

Author: Sifoo.com

Mula beroperasi secara rasmi di awal tahun 2000 dengan slogan Sumber Grafik dan Multimedia Malaysia dan kemudian berkembang menjadi sebuah komuniti online yang aktif. Setelah 10 tahun, Sifoo.com masih lagi aktif berkongsi ilmu secara online dan juga offline.

Share This Post On

Komen & Maklumbalas